Saturday, May 15, 2010

Skrip Empayar : Dendam Taming Sari digarap daripada naskhah yang ditulis oleh Iqbal Putra,' Taming Sari Ceretera Keris Setan' yang cuba mengisi vakum yang terhasil dari Hikayat Hang Tuah, Dengan penuh menghormati titik sejarah yang digunapakai, Iqbal Putra menyelami psikologi karekter-karekter yang terdapat di dalamnya dan seterusnya menelusuri persimpangan yang menemukan karekter-karekter ini lantas terbentuklah titik sejarah yang digunapakai hari ini. Persembahan di luar kotak ini, melihat kepada patriotisme, manipulasi, adat tertib, egalitarian dan actus reus karekter-karekter ini yang memanifestasikan kesetiaan dalam terjemahan, kefahaman dan iktibar masing-masing. Tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh Cinequip atau mana-mana pihak yang cuba untuk menerbitkannya dalam bentuk filem, naskhah ini cenderung kepada sifat manusia yang hakiki dan ego yang tiada mengenal batasan. Ianya bukan kisah Tun Teja yang terpaksa memilih antara Megat Panji Alam atau Hang Tuah, tetapi sebenarnya adalah penceritaan tentang perjalanan Hang Tuah dalam mengenali dirinya sendiri dan penghayatannya tentang keluhuran dalam kesetiaannya untuk siapa, adakah kepada Raja, seorang individu, kepada Melaka, negaranya, kepada Tun Perak,yang dianggap sebagi bapanya atau sebenarnya kepada dirinya sendiri.
Pihak-pihak yang terkemudian ini, seperti Cinequip, hanya mempunyai angan-angan yang tiada usaha mencari kefahamannya hakiki penceritaan trilogi Empayar, lantas hanya menambah 'afterthought' dan 'penempelan grandeur' yang tidak langsung mengenali dan tidak menghormati erti keseimbangan penceritaan, pembinaan dan juga pembidaan patriotisme yang sememangnya kaya dalam naskhah ini. Saya amat berharap agar pihak-pihak ini menoleh kembali dan melupakan hasrat menerbitkannya jika tidak dapat meneliti dan mencerna segala yang tersirat. Saya juga mendapati skrip yang ditulis terkemudian daripada penulisan saya, dipenuhi dengan nukilan-nukilan dengkel, cetek, memperbodohkan dan tidak bermaya, bukan sahaja dari segi penceritaan tetapi dari segi kefahaman seni penulisan itu sendiri. Tanpa rasa hormat dan usaha yang ikhlas, penerbitan filem ini pastinya akan gagal, justeru akan menghasilkan satu lagi kegagalam melakukan tanggungjawab kepada negara dalam menerapkan patriotisme dan mengunggulkan pensejarahan tanahair, lalu penerbitan filem ini akan seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Secara peribadinya, saya menyesal dan tersilap, memberikan kebenaran berlesen kepada Cinequip untuk menerbitkan filem ini. Saya ingin memohon segala kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kesilapan ini. Saya benar-benar berharap sesiapa yang menulis dan mengubah penceritaan saya, sila tampil ke hadapan untuk tidak mewujudkan kekeliruan terhadap siapa penulis sebenar Empayar: Dendam Taming Sari, iaitu Iqbal Putra.

No comments:

Post a Comment

komen je....all are welcome..buah cempedak di luar pasgar