Tuesday, December 30, 2008

Ceritera Keris Setan - Mukasurat 1

Kemerah-merahan suram jamung mewarnai dinding batu,
dinding tanah Gua Bodhi. Gema suara memuja Kali
bertalun sehingga menyeramkan dan meremangkan bulu
tengkuk. Menitis sulah limau dari hujung bilah kapak,
sambil mengikat alum dilengannya yang pejal dan
mengkal, Kertaka Sari semakin kehilangan jiwanya. Tuak
nira kelapa yang ditelannya semenjak malam tadi sudah
mula membawanya jauh ke alam kemayaan kepercayaannya,
semakin gelap dan semakin kelihatan olehnya akan Dewi
Kali menghulurkan tangannya seakan memberi kerahmatan
kepada niat dan tujuannya hari ini.

Mentera semakin selari dengan harmoni keseraman, Dewi
Kali, dewi kegelapan dan kematian, sesungguhnya
menjadi suar kepada Kertaka Sari dan pengikutnya.
Sesiapnya dengan sisipan pedang, dan bersenjatakan
kapak yang sudah dipuja berbulan-bulan lamanya, dia
meluru keluar dari kamarnya dan terus melompat,
melangkah sekumpulan pemuja-pemuja lainnya.
Ketangkasannya mengejutkan pengikut-pengikutnya dan
terus bersama menuju keluar dari tempat pemujaan
mereka.

Di pintu gua di Bukit Katil, Kertaka Sari dan
pengikutnya dapat melihat sejauh mata memandang. Pasar
Melaka, sesak dengan pedagang-pedagang, Istana Melaka,
Pelabuhan dan yang paling penting, kelihatan Bendahara
Paduka Tuan bersama peggawa-penggawanya berarak menuju
ke Istana melalui pasar.

Tanpa isyarat atau tanda, Kertaka Sari terus menerjah
angin, melompat turun dari mulut gua, bagaikan air
terjun yang tiada tahu akan apa yang terlarang atau
menghalang, menongkah bukit dan terus ke atas
bumbung-bumbung rumah orang-orang Melaka yang memenuhi
jalan sehingga ke pasar melaka.Bagaikan kijang dikejar
harimau, Kertaka Sari dari pengikutnya melompat-lompat
dari bumbung ke bumbung menuju ke medan pasar yang
seamatnya sibuk menjelang tengahari.

Hari Jumaat, bukanlah harinya yang Bendahara Paduka
Tuan gemar diperintah Tuanku ke Istana. Hari Jumaat,
penghulu segala hari adalah sebenarnya hari
kelepasannya, hari mendekati Tuhan, hari beibadat.
Sebagai Imam, Khatib dan Bilal Masjid empayar Melaka,
perintah ke Istana pada hari ini sesungguhnya
dipandang sebagai sesuatu yang ganjil dan mencuakkan.
Tanpa mengenakan persalinan rasmi Memanda Bendahara,
lebih selesa dipakainya jubah yang akan dipakainya
untuk sembahyang Jumaat. Rasa cuaknya ditambah lagi
dengan ketiadaan hulubalang utamanya, Daeng Mempawah,
Panglima Harimau Berantai, yang telahpun pulang ke
rahmatullah semasa peperangan mempertahankan daripada
serangan Siam dipantai Klang, kampung halamannya,
sepurnama dahulu.

Sayup hingar-bingar pasar melaka tiba-tiba hilang,
angin seakan-akan berhenti, panji-panji kebanggaan
para pedaganag yang menghiasi pasar tunduk seakan
sujud kepada hari.

        “ malaikat melintas,”

Sememangnya benar, malaikat melintas, bukan Jibril
yang turun membawa wahyu, atau Ridzwan, penjaga syurga
membawa wangian rahmat, tapi Izrail, si pencabut nyawa
yang melintas meletakkan tanda. Kertaka Sari dan paa
pengikutnya melompat turun dari bumbung rumahyang
terdekat dengan pasar dan sipenjual tasbih menjadi
mangsa pertamanya. Dikapaknya ditengah-tengah dahi
penjual tasbih yang sesungguhnya mencari rahmat Tuhan,
terbelah akan tengkoraknya dan memancut darah yang
tidak berdosa itu ke atas tanah pasar melaka yang
selama ini dianggap sebagai tanah beruntung.

Hayunan kapak dan pedang panjang bersilang-silang... (sambung)

No comments:

Post a Comment

komen je....all are welcome..buah cempedak di luar pasgar