Saturday, January 3, 2009

Ceritara Keris Setan - Mukasurat 2

Hayunan kapak dan pedang panjang bersilang-silang, tiada yang dapat mempertahankan diri dalam kekalutan itu, tiada yang terlepas dan tiada yang dapat lepas untuk bercerita akan kengerian itu. Bertindih-tindih mereka yang bercelaru melarikan diri, bertindih-tindih juga yang gemuk, kurus, tinggi dan pendek, lelaki dan perempuan, terkujur kejang mengadap Tuhan. Mata kapak dan bilah pedang Kertaka Sari dan pengikutnya tidak memberi salam ataupun mengenali yang berselisih, yang berlari dan yang terkejung. Kepala, dahi, tengkuk, tangan, dada, lambung, perut, pinggang, paha dan kaki, apa sahaja yang dilintasi, dihayunkan kapak, ditujahnya pedang. Izrael semakin sibuk mencabut nyawa, darah mlula melimbahi tikar, pinggan mangkuk dan tanah pasar. Bau hanyir dengan cepat mula merasuk sesiapa sahaja yang ada di situ. 


Amukan Kertaka Sari dan pengikutnya menjadi semakin teratur, ada yang ke utara, ke selatan, ke barat dan ke timur pasar. Tapi dalam orak-arek amukan itu, Kertaka Sari maseh dalam keadaan seakan terancang. Dia bersama-sama beberapa orang pengikutnya seakan tahu arah laluan Tun Perak dan penggawanya. Semakin mereka kehilangan pijakan ke alam nyata, semakin mereka cekap dalam permainan senjata, membunuh tanpa mengira siapa lagi, anak-anak kecil dibanting dan isteri-isteri ditikam seadanya.


Di persimpangan Semabuk, bertembung mereka, Kertaka Sari dan Tun Perak. Terhenti dalam langkah akan pengikut-pengikut Kertaka Sari, menguak-nguak kemengahan, masing-masing sudahpun bermandi darah, bau tengik keringat dan darah menyucuk angin. Penggawa-penggawa Bendahara menghunus tombak dan lembing, Tun Perak memandang terus ke mata Kertaka Sari yang kemerahan dari jiwa yang sudahpun bergaul dengan nafsu dan badi. Tertanya-tanya hati Tun Perak, siapakah ini, mengapa amukan ini, mengapa hari ini, mana pelindungku, lalu berzikir Tun Perak memohon kepada Tuhan untuk memberinya kekuatan dan perlindungan dari jembalang bertopengkan manusia ini. 


Sekali angin bertiup dan melayang tombak-tombak penggawa bendahara, Kertaka Sari, mengelak-ngelak sambil menghayun kapaknya, terbelah, terpancung dan ada yang terputus tombak-tombak yang terlontar itu. Dilompatnya terus menyerang penggawa yang di depan sekali yang maseh teragak-agak mengeluarkan kerisnya. Ditikamnya perut penggawa itu dan dihayun kapaknya. Memintas angin, berdesir bunyinya memancung leher penggawa bendahara, angin berganti darah, jeritan bertukar menjadi ketawa mengilai.


Hilaian dibawa angin membelah langit terus menjadi laungan. Tun Perak yang tidak bersenjata dek kerana persalinannya adalah persalinan beribadat, menjadi tenungan Kertaka Sari, dikala itu juga penggawa-penggawa yang ada sudah pun putih telapak kaki masing-masing, hilang, lenyap meninggalkan Bendahara Paduka Tuan seorang diri. Berdiri sambil memijak badan tak berkepala arwah penggawa, Kertaka Sari memaling lehernya, membunyikan tulang-tulang tengkuknya. Menginjak sedikit ke kanan, Tun Perak mengutkan kekudanya tanpa sedikitpun terlihat akan pergerakkannya. Sambil membuka bunga langkahnya, Kertaka Sari melompat untuk menyerang Tun Perak, inilah sasarannya, satu-satunya penghalang kepercayaanya, satu-satunya penghalang Srivijaya, dalam terjahannya yang tinggi, sehingga seakan gerhana akan matahari, melentik dengan kapaknya diangkat tinggi untuk diledakkan betul-betul di ubun-ubun Tun Perak, semakin hampir, semakin hingar angin memukul telinganya, hayunan kapaknya semakin hampir ke sasarannya,tiba-tiba nampak kelibat seseorang meluru kehadapan Tun Perak dan menepis dengan satu hentakan kuat sehingga tercampak Kertaka Sari kira-kira serantai dari Tun Perak. Menghambur pasir dan tanah sehingga menusuk matanya. Disapunya pasir dari mukanya, dan kelihatan seorang anak Melayu berdiri gagah melindungi Tun Perak. 


Alam maya penghindar takut yang datang dari tuak setempayan hilang dengan tiba-tiba, rasa sengal dan jenjarum dirasakan sepanjang lengannya... (sambung)

1 comment:

  1. ni iqbal putra g-spot ker?
    kalau yer, untuk authentication jawab soalan ni..
    saper jumaiza samingan?

    xoxo

    ReplyDelete

komen je....all are welcome..buah cempedak di luar pasgar